Sunday, January 07, 2007

Dari KL ke London.. RM 10 sahaja..

Sumber : Utusan Malaysia

AirAsia X terbang ke destinasi antarabangsa mulai Julai

KUALA LUMPUR: AirAsia X, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh pertama tempatan, menawarkan tambang serendah RM9.99 untuk orang ramai terbang ke beberapa destinasi utama antarabangsa termasuk London, mulai Julai ini.

DETIK BERSEJARAH: Fernandes bersama pramugari yang memakai baju simbol harga terendah penerbangan AirAsia X ke Asia selepas pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.

Sebagai permulaan, AirAsia X yang dikendalikan Fly Asian Xpress (FAX), turut menyediakan penerbangan tambang murah ke beberapa lagi destinasi popular di China, India dan Australia.

Tempahan tiket bagi AirAsia X, yang juga antara syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh pertama di dunia, boleh dibuat di laman web www.airasia. com mulai bulan depan.

Pengarah yang juga Pengasas FAX, Datuk Tony Fernandes, berkata dalam tempoh lima tahun, AirAsia X bercadang meluaskan operasi ke beberapa bandar raya utama Eropah seperti Prague, Berlin dan Milan serta Amerika Syarikat.

Pada tahun pertama operasi, AirAsia X yang menggunakan pesawat badan lebar jenis Boeing 777-300ER dan Airbus 330-300 menjangka mampu mendapat sehingga kira-kira 500,000 penumpang.

"Penggunaan pesawat itu akan memberi keselesaan kepada penumpang jarak jauh," katanya pada majlis pelancaran AirAsia X oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di sini, semalam.

AirAsia X yang menggunakan model perniagaan seperti AirAsia iaitu dengan struktur tambang berperingkat akan berpangkalan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Fernandes berkata, FAX akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah antarabangsa lain bagi menyediakan penerbangan sambungan ke destinasi yang tidak disinggahinya.

"AirAsia X akan membawa revolusi kepada industri penerbangan tempatan selain mempercepatkan usaha menjadikan Malaysia hab penerbangan tambang murah global.

"Pelancarannya sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 ini juga diharap dapat membantu membawa lebih ramai pelancong ke negara ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif FAX, Raja Mohd Azmi Raja Razali, berkata AirAsia X akan mempunyai dua kelas tambang mengikut jenis tempat duduk iaitu saiz biasa dan lebih luas, yang ditawarkan pada harga tambahan.

"Seperti AirAsia, makanan dan minuman boleh dibeli dalam pesawat, manakala perkhidmatan hiburan pula akan disediakan sebagai pilihan untuk penumpang pada bayaran tertentu," katanya.

Chan dalam sidang media selepas majlis itu berkata, AirAsia X tidak akan memberi kesan kepada Penerbangan Malaysia (MAS) yang menumpukan kepada perkhidmatan tambang penuh bagi laluan penerbangan antarabangsa.

Katanya, pendapatan MAS tidak akan terjejas kerana ia mempunyai segmen pasaran berbeza. Kerajaan akan memastikan laluan utama AirAsia X juga tidak memberi saingan secara terus kepada MAS.

"Sebagai contoh, bagi penerbangan ke London, AirAsia X tidak akan mendarat di Lapangan Terbang Heathrow yang menjadi persinggahan utama dan antara destinasi paling menguntungkan bagi MAS.

"AirAsia X dijangka mendarat di lapangan terbang kedua London, Gatwick yang terletak kira-kira 48 kilometer ke selatan bandaraya itu," katanya.

Pada majlis semalam, FAX turut memeterai memorandum persefahaman(MoU) dengan AirAsia bagi membolehkan syarikat itu memfrancaiskan jenama AirAsia X ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi AirAsia, Datuk Pahamin A Rajab menandatangani MoU itu bagi pihak AirAsia manakala FAX diwakili Raja Mohd Azmi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fernandes yang memegang 50 peratus saham FAX menjelaskan, AirAsia X dan AirAsia adalah dua entiti berbeza dengan pengurusan dan kakitangan berlainan.

"Bagaimanapun kedua-duanya mempunyai jalinan kerjasama dari segi sambungan penerbangan. AirAsia menumpukan kepada operasi sedia ada di rantau ini, manakala AirAsia X kepada penerbangan jarak jauh,"katanya.

----------------------------------

Mampuih aku kalau semua datang.. hehe.. kene first come first serve key!

No comments: